MBMB menang dua projek inovasi KPKT

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 7 Dis – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meraih tempat keenam dan ke-11 daripada 20 finalis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang layak ke peringkat akhir pertandingan Piala Inovasi Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) anjuran Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) baru-baru ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, Kumpulan Inovatif dan Kreatif MBMB (KIK) meraih tempat keenam bagi Projek Sistem Pejalan Kaki Automatik (SiPKA) yang melayakkan mereka menerima hadiah geran KPKT bernilai RM50,000, wang tunai RM500 serta piala iringan.

Menurutnya, tempat ke-11 diperoleh melalui projek Sistem Pemantauan Operasi Pam (SPOP) sekali gus memenangi geran KPKT bernilai RM25,000, wang tunai RM500 dan piala iringan.

PROJEK SPOP MBMB menduduki tempat ke-11 Piala Inovasi KPKT.

“Tahniah diucapkan kepada KIK yang telah berjaya mendapat tempat keenam dan 11 pada pertandingan Inovasi MALA 2020 baru-baru ini, kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama MBMB dan negeri Melaka secara keseluruhannya.

“Semoga MBMB terus mengekalkan prestasi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang pada tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyampaian anugerah dan hadiah kemenangan kepada pasukan KIK MBMB itu disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada majlis perasmian Mesyuarat Agong Tahunan MALA Kali ke-20 di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang baru-baru ini.

Turut hadir Zainal yang juga Timbalan Presiden MALA, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ismail Abd. Muttalib dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Presiden MALA, Datuk Ar. Yew Tun Seang.

MALA telah mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Piala Inovasi Menteri KPKT bertujuan membolehkan PBT di seluruh negara mengambil bahagian untuk mempamerkan hasil inovasi mereka bagi diadaptasikan dalam melaksanakan kerja-kerja harian.

Acara tahunan itu pada tahun ini berjaya menarik 52 penyertaan dari selurub PBT.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1005
Kongsi :
Previous post Jubah ‘konvo’ pandu lalu
Next post Singapura sahkan dua kes import varian Omicron
Ubah saiz-+=