
MBMB, PAHLAWAN BUMI MELAKA HIJAUKAN PANTAI KAMPUNG HAILAM
PANTAI KUNDOR 7 September – Lebih 46 kilogram (kg) berjaya dikumpul menerusi Program Litter Picking/Plogging, Bandaraya Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS) yang diadakan di Persisiran Pantai Kampung Hailam, di sini, pada Jumaat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, operasi BEBAS Bil. 25/2026 adalah anjuran Persatuan Pahlawan Bumi Negeri Melaka bersama Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya MBMB.
Katanya, program berkenaan menjadi antara platform untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara.
“Operasi ini memperlihatkan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak pada bahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama serta kesedaran daripada seluruh masyarakat,” katanya.
Menurutnya, penglibatan sukarelawan menerusi program ini amat dialu-alukan dalam membantu PBT melaksanakan usaha memelihara kebersihan secara berterusan.
“Di pihak MBMB kami sentiasa mengalu-alukan penyertaan individu mahupun kumpulan sukarelawan untuk bersama-sama menjayakan program kebersihan di sekitar kawasan pentadbiran MBMB khususnya.
“Usaha seperti ini juga secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan komuniti supaya bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.
Jelasnya, orang ramai yang berminat untuk menyertai Skuad BEBAS MBMB Tahun 2026 boleh menghubungi Noor Azran di talian 014-268 7773.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


