MCMC buka 20 kertas siasatan hasil audit kualiti pembekal perkhidmatan mudah alih

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuka 20 kertas siasatan ke atas pembekal perkhidmatan mudah alih hasil daripada aktiviti audit pengukuran kualiti perkhidmatan yang dijalankan di seluruh negara sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata setakat ini, dua kompaun telah dikeluarkan kepada pembekal perkhidmatan yang tidak mencapai piawaian yang ditetapkan dengan jumlah kompaun yang ditawarkan sebanyak RM60,000 manakala satu kompaun sedang diproses dengan jumlah sebanyak RM20,000.

“Kompaun-kompaun tersebut melibatkan perkhidmatan Celcom kerana gagal mencapai piawaian di Sabah dan Unifi Mobile di Melaka dan Pahang,” katanya ketika menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau) di Dewan Rakyat hari ini.

Choong ingin tahu langkah-langkah yang telah diambil oleh KKMM dalam memastikan kemudahan akses internet 4G itu memuaskan selepas perkhidmatan 3G telah ditamatkan di semua kawasan pedalaman atau luar bandar.

Zahidi berkata bermula tahun ini pula, MCMC juga akan meningkatkan aktiviti audit berkenaan dengan sebanyak 3,000 lokasi di seluruh negara telah dikenal pasti untuk tujuan itu, membabitkan lokasi yang pernah menerima aduan liputan sepanjang tahun lepas.

Setakat 25 Jan lepas, beliau berkata sebanyak 1,466 stesen pemancar 3G sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G oleh syarikat penyedia perkhidmatan yang utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

Beliau berkata usaha untuk menaik taraf stesen pemancar 3G sedia ada kepada perkhidmatan 4G akan terus dilaksanakan pada tahun ini dengan seberapa segera menggunakan spektrum sedia ada bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti jalur lebar mudah alih kepada pengguna.

“Selain itu, rangkaian teras sedia ada turut dinaik taraf kepada gentian optik di sesetengah kawasan bagi menampung kapasiti radio yang lebih tinggi dalam perkhidmatan 4G,” katanya.

Dengan menaik taraf rangkaian teras dan stesen pemancar 4G ini, beliau berkata ia akan dapat memastikan akses jalur lebar mudah alih yang lebih bermutu dengan kualiti pengalaman yang lebih baik kepada pengguna dapat disediakan setelah penamatan perkhidmatan 3G secara menyeluruh kelak.

Zahidi berkata menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pula, sebanyak 2,175 menara baharu akan dibina untuk meluaskan liputan 4G terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

908
Kongsi :
Previous post COVID: Kes harian terus menurun, catat 22,030 semalam
Next post Siapa MB Johor?
Ubah saiz-+=