Media sosial parti calon bertanding diperhati polis 24 jam

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 11 Nov – Polis Melaka menubuhkan pasukan pemantauan media sosial bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) pergerakan parti calon bertanding sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pasukan pemantauan itu akan memantau semua media sosial sama ada melalui Facebook mahupun Twitter serta Instagram.

“Kita menempatkan tiga keanggotaan bagi pemantauan media sosial ini dan mereka ini akan memantau media sosial selama 24 jam.

“Sekiranya wujud perlanggaran SOP pada gambar yang dimuat naik berkaitan PRN sama ada gambar itu semasa atau sudah berlaku, polis akan membuat laporan polis sebelum kertas siasatan dibuka bagi mengambil keterangan individu terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya wujud perlanggaran SOP selepas polis mengambil keterangan, pihaknya akan mengeluarkan kompaun.

Katanya, sekiranya individu berkenaan tidak berpuas hati dengan kompaun dikeluarkan, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Rayuan itu membolehkan kompaun dikurangkan atau membawa kes tersebut ke mahkamah untu diadili,” katanya.

Sebelum ini, parti yang meletakkan calon bertanding dalam PRN Melaka rata-ratanya tidak berpuas hati dengan SOP ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post PN umum calon KM sebelum hari pengundian – Muhyiddin
Next post 28 calon PN tandatangani aku janji anti rasuah
Ubah saiz-+=