Sorting by

×

MELAKA AGROFEST 2025: SEDIA HADIAH CABUTAN BERTUAH ANAK LEMBU SADO

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Cabutan bertuah seekor anak lembu sado berharga lebih RM10,000 bakal menjadi tarikan utama buat pengunjung singgah di Melaka Agrofest 2025.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata hadiah itu ditawarkan bagi menggamit orang ramai berkunjung ke Melaka Agrofest 2025 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, dari 27 hingga 29 Jun (Ahad) depan.

“Kalau sebelum ini hadiah cabutan bertuah adalah seperti motosikal atau televisyen, bagi 2025 kita bawakan kelainan. Kita akan bagi seekor anak lembu sado sebagai hadiah utama.

“Daftar sahaja di tapak lembu sado dan siapa tahu mungkin rezeki anda untuk bawa pulang lembu bernilai lebih RM10,000 ini. Mengikut anggaran harga pasaran anak lembu sado ini adalah sekitar RM10,000 hingga RM13,000,” katanya pada sidang media Melaka Agrofest 2025 di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.

Anak lembu sado berkenaan dianggarkan seberat antara 150 hingga 200 kilogram, dengan nilai pasaran mencecah RM13,000, bergantung kepada baka dan potensi pembiakannya.

Pemenang bertuah akan diumumkan pada Ahad petang, dalam majlis penutupan rasmi yang bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Selain cabutan bertuah, Melaka Agrofest 2025 turut menampilkan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan teka berat lembu sado, jualan produk agro dan penternakan tempatan, demonstrasi teknologi pertanian serta aktiviti mesra keluarga sepanjang tiga hari penganjurannya.

Dr. Muhamad Akmal, turut menggalakkan kehadiran orang ramai, sama ada dari dalam atau luar negeri ini, kerana Melaka Afrofest adalah antara acara tahunan dinanti-nantikan.

“Insya-Allah Ahad petang kita akan umumkan siapa yang bertuah bawa balik lembu sado, ini sangat menarik ia terbuka kepada semua orang, mana tahu ada rezeki dapat lembu sado nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post SPRM TAHAN LIMA DISYAKI SELEWENG DANA NGO SUMBANGAN AWAM BERNILAI RM26 JUTA
Next post ORANG RAMAI DIPELAWA SERTAI PERTANDINGAN NAMAKAN BUAH IKONIK MELAKA