Sorting by

×

MELAKA AMBIL LANGKAH AWAL PASTIKAN BEKALAN AIR MENCUKUPI

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER LIMAU 28 Mac – Kerajaan Negeri mengambil langkah awal menyediakan pelan kotingensi bagi memastikan bekalan air di Melaka mencukupi berikutan fenomena cuaca panas berterusan yang melanda ketika ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu diambil susulan paras air di tiga empangan utama Melaka merosot antara 10 hingga 30 peratus.

“Justeru itu di pihak Kerajaan Negeri kami sentiasa mengambil langkah awal dan bersedia dalam mendepani cuaca panas yang berlaku.

“Antara yang dilakukan adalah melakukan pengepaman air daripada kolam dwi fungsi dan pengambilan air dari Sungai Gersik, Muar, di mana 40 peratus daripadanya disalurkan ke loji Merlimau.

“Manakala untuk loji Bertam pula kita sedang mengambil air daripada kolam dwifungsi untuk dilimpahkan ke Sungai Melaka bagi menampung paras air semasa.

“Sekiranya terdapat keperluan dan tiada taburan hujan diterima, pelan kontingensi akan digerakkan dengan mengepam air dari kolam-kolam tadahan sedia ada di Melaka antaranya di Ayer Keroh dan Nyalas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Kampung Jeram, di sini, malam tadi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Hadir sama, Speaker DUN Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kawasan tadahan di pedalaman Pantai Barat dijangka menerima taburan hujan yang tinggi bermula April ini.

“Kita berdoa akan ada limpahan hujan seperti yang diramalkan dan limpahan tersebut mampu menampung semula ketiga-tiga empangan utama negeri dan mencapai paras 100 peratus.

“Dengan itu bekalan air kita mampu bertahan sehingga November sebelum bermulanya musim tengkujuh dan operasi pembenihan awan (OPA) adalah langkah terakhir sekiranya tiada hujan.

“Namun begitu setakat ini bekalan air di Melaka mencukupi sehingga ke tempoh yang disasarkan hujan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post DARIPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT, PARAKOM CERMINAN MeSRa
Next post AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT MERIAH, CERIA DAN PENUH MESRA