Sorting by

×

MELAKA ANJUR BENGKEL HALA TUJU KAMPUNG DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KOTA LAKSAMANA 27 Mei – Sebuah bengkel berkaitan Kampung Digital akan diadakan tidak lama lagi bagi membincangkan hala tuju seterusnya pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif Kampung Digital kini sudah lengkap apabila kesemua penduduk di 618 buah kampung tradisional seluruh negeri ini telah menerima alamat baharu dilengkapi kod respon pantas (QR).

Bertitik tolak daripada ujar beliau, Kerajaan Negeri kini sedang mempergiatkan usaha untuk memperkasa profil penduduk, di mana data tersebut perlu dimasuk dan disiapkan sesegera mungkin untuk melalui proses berikutnya.

“Jadi, kita meminta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) untuk memberikan maklumat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tentang prestasi profil penduduk di kawasan masing-masing agar ia dapat disegerakan.

“Selepas proses ini, kita akan menganjurkan bengkel tentang hala tuju Kampung Digital yang seterusnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Hari Bersama Komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Lorong Pandan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, di sini, baru-baru ini.

Fairul Nizam yang juga Adun Asahan berkata, selain Kampung Digital, Kerajaan Negeri turut menjadi perintis kepada beberapa lagi inisiatif digital lain, antaranya Ternakan Digital (QR Tagging Haiwan Ternakan) dan Kubur Digital.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

162
Kongsi :
Previous post UTEM PELOPOR DOKTOR AMALAN PROFESIONAL TVET PERTAMA NEGARA