Sorting by

×

MELAKA ANJUR PAMERAN MANUSKRIP SEJARAH DARI PELBAGAI NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DUYONG 6 Februari – Melaka akan menganjurkan pameran yang menonjolkan sumber sejarah asal Kesultanan Melayu Melaka yang diperoleh dari pelbagai negara asing.

Ketua Penyelidik Institut Tun Perak (ITP), Prof. Datuk Dr. Taib Dora berkata, penganjuran pameran itu bertujuan membuktikan kehebatan Melaka dan meluruskan fakta sejarah negeri ini.

Jelasnya usaha itu juga akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber Sulalatus Salatin, sebaliknya ditumpukan dan berpandukan manuskrip asal yang ditemui di luar negara.

“Dalam usaha kita untuk meluruskan semula fakta sejarah, tidak boleh lagi bergantung kepada sumber yang ada ketika ini, tetapi mencari dan mengumpul sendiri manuskrip-manuskrip berkenaan untuk kita buktikan tentang kehebatan Melaka.

“Sepanjang 2023 hingga 2024, kita telah mengumpulkan manuskrip berkaitan Hang Tuah dan mengadakan pameran. Kini kita memberi tumpuan kepada manuskrip mengenai kedaulatan Melaka serta undang-undang luar Melaka.

“Antara manuskrip yang telah dibawa pulang setakat ini adalah dari Universiti Leiden, Belanda, Sepanyol, Portugal, England dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Penutup Seminar Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka Dalam Dunia Maritim di Auditorium Muzium Hang Tuah Center, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Datuk Zaidi Attan; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 manuskrip lama untuk dipamerkan.

Pameran berkenaan dirancang untuk diadakan sebelum akhir tahun ini namun, lokasi penganjurannya masih belum ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post BIMBINGAN KEWANGAN BUKA PELUANG UNTUK USAHAWAN MELAKA BERKEMBANG
Next post GTP: CERMINAN KOMITMEN MELAKA SEBAGAI HAB INDUSTRI BERTEKNOLOGI TINGGI