Melaka antara enam negeri laksana semula PKP bermula Rabu ini

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA 11 Jan. – Kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri termasuk Melaka bermula 12.01 pagi Rabu ini sehingga 26 Januari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKP turut akan dilaksanakan di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) serta Sabah.

“Berasaskan penilaian risiko oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai agensi dan pakar kesihatan awam kerajaan bersetuju dengan satu tindakan tegas untuk putuskan rantaian COVID-19.

“Kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri iaitu Melaka, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Sabah bermula 12.01 pagi Rabu hingga 26 Januari ini,” katanya dalam perutusan khas di sini petang ini.

Untuk rekod, PKP pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac tahun lepas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 4 Mei itu menyaksikan hampir kesemua sektor dan industri penting negara ditutup, dan negara kehilangan hampir RM22.8 bilion dari segi output ekonomi pada suku pertama 2020.

Statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut mencatatkan 90,470 orang hilang pekerjaan setakat 28 Oktober lalu.

Kerajaan membuat keputusan melonggarkan PKP, dan menggantikannya dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020 dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020.

Bagaimanapun, susulan penularan mendadak kes COVID-19 dalam komuniti tempatan yang didakwa sesetengah pihak berpunca daripada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas, PKP dilihat kembali menjadi pertimbangan utama Kerajaan Persekutuan.

Berita lanjut menyusul.

Views:

674
Kongsi :
Previous post Dua suspek kes samun ditahan, seorang diburu
Next post Lelaki dicari bantu siasatan kes sindiket samun dan pecah rumah
Ubah saiz-+=