
MELAKA BAKAL LANCAR APLIKASI SMART AI TOURISM
AYER KEROH 27 Disember – Aplikasi pelancongan pintar Smart AI Tourism Melaka akan dilancarkan pada malam Sambutan Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas 2025 di Encore, Klebang, 31 Disember ini.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad berkata, aplikasi yang dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi Melaka ICT Holdings (MICTH) itu dijangka akan memperkukuhkan lagi ekosistem pelancongan digital di Melaka selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Inisiatif berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) ini mesra pengguna kerana memudahkan pelawat domestik atau asing mendapatkan maklumat arah serta lokasi tumpuan pelancongan di negeri ini.
“Menggunakan aplikasi ini pelancong dapat mengakses destinasi pelancongan menarik di Melaka dengan lebih mudah dan menikmati pengalaman melancong secara maya,” katanya ketika bersiaran langsung di Melaka FM menerusi segmen Kokenut Shake Dulu, pada Rabu.
Program itu turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Menurutnya, aplikasi itu adalah antara penambahbaikan yang dilakukan dalam usaha memperkasa sektor pelancongan negeri sepanjang 2026 sempena Tahun Melawat Melaka 2.0.
“Sepanjang tahun hadapan bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan seiring dengan VM 2026, kira-kira 220 program disediakan termasuklah 18 acara utama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


