
MELAKA BAKAL SELARAS LESEN VAPE
BEMBAN 24 Jun – Kerajaan Negeri akan melaksanakan penyelarasan terhadap lesen perniagaan rokok elektronik atau vape di Melaka bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata ketika ini kebanyakan peniaga vape beroperasi memperbaharui lesen perniagaan kedai mereka menggunakan lesen barangan elektronik.
Katanya, bagaimanapun keputusan Kerajaan Negeri nanti akan bergantung kepada penyelarasan daripada Kerajaan Pusat berikutan melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Isu ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas kita menerima garis panduan dan ketetapan rasmi daripada Kerajaan Persekutuan. Ketika ini kita sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) berhubung isu beberapa kedai vape yang tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan mereka.
“Ketika ini berlaku kekeliruan apabila ramai peniaga vape menggunakan lesen barangan elektronik walaupun hakikatnya memerlukan klasifikasi lesen yang lebih khusus.
“Setiap PBT mempunyai bidang kuasa tertentu dan sekiranya terdapat peniaga gagal mematuhi syarat-syarat lesen, tindakan kompaun boleh dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Program MPJ Dihatiku Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Kampung Asam Kumbang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop; Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata isu penjualan dan mengawal selia vape terus menjadi perhatian berikutan kebimbangan terhadap kesannya kepada kesihatan awam serta ketidakpatuhan garis panduan perlesenan sedia ada.
“Sekiranya telah diputuskan dalam MMKN, berkemungkinan keputusan Kerajaan Negeri akan diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.