MELAKA BERSELAWAT: MALAM PENUH KEBERKATAN, KEBERSAMAAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KLEBANG 30 Ogos – Ketika sambutan bulan kemerdekaan lazimnya diserikan dengan pelbagai acara dan kemeriahan, Melaka memilih pendekatan berbeza dengan selawat, doa dan rasa syukur kepada Allah SWT menerusi Majlis Melaka Berselawat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu membawa mesej supaya rakyat menghargai nikmat kemerdekaan, memelihara keamanan serta menggunakan kebebasan yang dinikmati dengan penuh tanggungjawab.

“Saya lihat Melaka Berselawat bukan sekadar sebuah program keagamaan, ia membawa satu pengertian bahawa kemajuan yang kita bina mesti ada nilainya, keamanan kita nikmati dan kebebasan diwarisi mesti dipelihara dengan penuh amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Melaka Berselawat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.

Beliau berkata, pemilihan pengisian berteraskan keagamaan itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperluas program seumpamanya dalam usaha menyuburkan penghayatan Islam dan memperkukuh nilai murni dalam masyarakat.

“Sebab itu, saban tahun, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program dan pengisian keagamaan sebagai usaha menyuburkan penghayatan Islam dalam kehidupan.

“Usaha ini selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang mahu pembangunan negeri bukan sahaja berteraskan kemajuan, tetapi disertai pemeliharaan keamanan dan pengukuhan kasih sayang sesama masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

374
Kongsi :
Previous post 10,000 UMAT ISLAM MERIAHKAN MELAKA BERSELAWAT