Sorting by

×

MELAKA BIKE WEEK 2026 BERSKALA MEGA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 27 Disember – Kejayaan Melaka Bike Week Edisi Kedua 2025 menggamit lebih 60,000 peminat motosikal dari seluruh negara dan negara serantau membuatkan acara itu bakal diteruskan pada skala lebih mega tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka Bike Week 2026 akan dimasukkan ke dalam takwim pelancongan Tahun Melawat Melaka 2.0 dengan sasaran lebih ramai peminat motosikal dari dalam dan luar negara.

Menurut beliau, ia sekali gus bakal menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan permotoran terkemuka di atas kejayaan pelbagai penganjuran seumpamanya sebelum ini, termasuk RXZ Members Ride Edition Melaka.

“Fenomena ini jelas membuktikan bahawa Melaka adalah lokasi pilihan perhimpunan komuniti bikers di peringkat serantau, sejajar dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri memperkukuh imej Melaka sebagai destinasi
pelancongan berimpak tinggi.

“Hakikatnya, Melaka Bike Week bukan sekadar acara permotoran. Ia merupakan platform strategik memperkukuh pelancongan berasaskan gaya hidup, komuniti dan pengalaman, di samping memberi manfaat langsung kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka Bike Week Edisi ke-2 dan Karnival DUN Kuala Linggi Tahun 2025 di Stadium Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta lain-lain kenamaan.

Melaka Bike Week 2025 yang diadakan bersekali dengan Karnival DUN Kuala Linggi merupakan anjuran Japerun Kuala Linggi, dengan kerjasama UNIMEL serta pelbagai agensi dan sukarelawan.

Acara berlangsung selama tiga hari itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian antaranya, Kuala Linggi Berselawat, Forum Perdana, zumba, sukan rakyat, futsal, bola jaring, pameran agensi, persembahan artis dan cabutan bertuah.

Lebih istimewa, ia turut digamatkan dengan kehadiran kelab-kelab permotoran dari seluruh negara, malah disertai peminat motosikal dari Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura, sekali gus menjadikannya sebagai perhimpunan berskala nasional dan serantau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post KOLEJ KOMUNITI JASIN ANGKAT SENI ‘QUILLING ART’
Next post MAK ESAH KEBAYA MERAH DUTA DIGITAL PROMOSI KUALA LINGGI