Sorting by

×

MELAKA HAB BIOJISIM, BAKAL PENERAJU EKONOMI HIJAU PROGRESIF

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 4 Ogos – Melaka menjadi negeri pertama menerima pelaburan syarikat swasta dalam sektor biojisim menerusi pembangunan ‘Green Sustainable Biomass Hub’ bernilai lebih RM30 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan Melaka sebagai destinasi pelaburan pertama syarikat Palmitco Alliance di Malaysia mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi ekonomi hijau di negeri ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat ini kerana telah memilih Melaka.

“Penubuhan hab ini adalah simbol sinergi erat antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Melaka sebagai peneraju ekonomi hijau yang progresif, berdaya saing dan berpandangan jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Green Sustainable Biomass Hub di Zon Perindustrian Bebas, Tanjung Kling, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Penasihat Khas Pelaburan Dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi@Mohd Hasim; Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa dan lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pelancaran hab biojisim itu sejajar dengan ‘National Biomass Action Plan 2023-2030’ dan bakal mengukuhkan infrastruktur tenaga boleh baharu negara.

“Dengan pelaburan awal melebihi RM30 juta, hab ini akan merancakkan ekosistem hijau tempatan, membuka rantaian nilai baharu yang mampan dan menjadi contoh kerjasama awam-swasta,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata bagi fasa kedua, hab ini akan diperluas dengan pembinaan ‘cold room’ serta gerbang pengimportan makanan asas.

“Langkah strategik ini memberi manfaat besar kepada industri makanan laut dan sejuk beku, di samping menyokong sekuriti makanan negeri melalui pengurusan import bijirin dan makanan ternakan secara lebih terancang.

“Kerajaan Negeri menyokong penuh inisiatif ini kerana ia membawa manfaat langsung kepada rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran, menjamin bekalan makanan asas lebih stabil serta menyumbang kepada kos sara hidup yang lebih terkawal.

“Hab ini juga akan menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi penyimpanan produk di gudang, pemprosesan, operasi eksport melalui Pelabuhan Tanjung Bruas sehingga penghantaran terus ke loji janakuasa di Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post PPSPM PERKUKUH BUDAYA KERJA BERINTEGRITI
Next post MELAKA MAHU JADI NEGERI CONTOH DASAR HIJAU