
MELAKA JADI LOKASI PENGANJURAN HARI TVET TERBESAR NEGARA – TPM
AYER KEROH 17 Mei – Penganjuran Hari TVET Negara yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 11 hingga 13 Jun depan bakal menjadi sebuah penganjuran terbesar dalam sejarah negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bersempena penganjuran itu beberapa elemen baharu akan diperkenalkan kepada pengunjung antaranya berkaitan teknologi kenderaan elektrik (EV), teknologi maklumat (IT) dan e-sukan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, sambutan itu juga akan membuka peluang kepada orang ramai, khususnya pelajar untuk melihat apakah peluang-peluang yang ditawarkan dalam bidang TVET.
“Selain melihat pelbagai pameran yang disediakan, sambutan ini juga memberi ruang untuk anak-anak muda mengetahui peluang-peluang pekerjaan dan tangga gaji yang akan dinikmati mereka apabila tamat pengajian daripada institusi TVET ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, wakil Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Mustafa Musa; Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka merangkap Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Prof Datuk Dr Mizan Hitam; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan lain-lain kenamaan.
Menurut Ahmad Zahid, sambutan itu juga akan menampilkan pelajar-pelajar dalam bidang TVET Tahfiz TVET bagi mempromosikan cabang itu yang bukan sahaja melahirkan huffaz al-Quran, bahkan golongan profesional dalam bidang teknikal serta vokasional.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.