MELAKA KECIL DI PETA, BESAR DI MATA DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Melaka mungkin kecil dari segi keluasan, namun kekuatan sektor pelancongan dan warisannya terus mengangkat nama negeri itu di pentas nasional dan antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat Januari hingga Jun tahun ini, Melaka telah menerima lebih 7.2 juta pelancong, dengan anggaran sumbangan sebanyak RM7.27 bilion kepada ekonomi negeri.

Katanya, pencapaian berkenaan membuktikan sektor pelancongan terus menjadi antara pemacu penting ekonomi negeri, selain memperlihatkan daya tarikan Melaka yang kekal relevan dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.

“Bagi sebuah negeri yang kecil dari segi keluasan, pencapaian ini membawa satu mesej yang besar. Melaka mungkin kecil di peta, tetapi nama Melaka besar di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, kekuatan jenama pelancongan Melaka turut mendapat pengiktirafan apabila bumi bersejarah ini dinobatkan sebagai penerima Best Art and Culture Destination serta Best Melaka UNESCO Heritage Site Promotion pada Tourism Industry Awards 2026 anjuran Malaysia International Tourism Development Association.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja mengangkat produk pelancongan Melaka, malah membuktikan kekayaan seni, budaya dan warisan negeri itu terus mempunyai nilai serta daya tarikan di peringkat lebih luas.

“Melaka mempunyai sejarah yang panjang dan warisan yang kaya. Tetapi warisan ini tidak boleh hanya disimpan di muzium. Ia mesti terus hidup pada bahasa, seni, pantun, adat, makanan, seni bina dan jati diri rakyatnya.

“Kita mahu orang datang ke Melaka bukan sekadar untuk melihat sejarah. Kita mahu mereka merasai jiwa Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post FORMULA YB ALONG NOKTAHKAN PENANTIAN ANAK PENEROKA
Next post AYUH BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN MELAKA