
MELAKA KUASA EKONOMI BAHARU SELATAN TANAH AIR – BANK MUAMALAT
AYER KEROH 9 Jun – Melaka bukan sahaja negeri yang kaya dengan sejarah dan produk pelancongan, bahkan kini sedang pesat muncul sebagai kuasa ekonomi baharu di selatan tanah air.
Oleh sebab itu, Bank Muamalat Malaysia Berhad mengambil peluang untuk menjadi sebahagian daripada institusi terlibat dalam menyokong pertumbuhan ekonomi di bumi bersejarah ini dengan pembukaan cawangan keempatnya di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), Ayer Keroh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad Khairul Kamarudin berkata, Melaka walaupun negerinya kecil namun telah terbukti berupaya mencipta kejayaan besar, antaranya mencatat kutipan hasil mencecah RM489.79 juta, selain menarik pelaburan berjumlah RM8.18 bilion tahun lalu.
Oleh sebab itu, beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam usaha untuk memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Kami menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan keterangkuman kewangan dan penyediaan perkhidmatan kewangan yang menyeluruh di seluruh negeri ini.
“Kami juga bersedia untuk bekerjasama dalam inisiatif pembangunan seperti program keusahawanan Islam, pemerkasaan ekonomi B40, transformasi digital luar bandar serta inisiatif transaksi tanpa tunai khususnya di lokasi pelancongan dan komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bank Muamalat Malaysia Berhad Cawangan Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri di MIBC, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Menurut Khairul, pembukaan cawangan baharu di MIBC itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk akaun deposit dan pelaburan, pembiayaan perumahan, peribadi dan perniagaan, Ar-Rahnu, pelaburan emas, unit amanah dan takaful, selain berperanan sebagai ejen rasmi Amanah Saham Nasional Berhad, Zakat dan Tabung Haji.
Menurut beliau, sejak pembukaan cawangan baharu itu pada 28 April lalu, Bank Muamalat menerima sambutan hebat daripada komuniti setempat sehingga berjaya menarik lebih 400 pelanggan baharu dan jumlah transaksi perniagaan melebihi RM4.9 juta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.