
MELAKA PERKASA PEMBANGUNAN EKONOMI PATUH SYARIAH
AYER KEROH 9 Jun – Kerajaan Negeri menyambut baik kesediaan Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk menjalin kerjasama strategik dalam bagi memberi penekanan terhadap pemerkasaan ekonomi patuh syariah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jalinan kerjasama itu penting memandangkan terdapat lebih 75 peratus rakyat di negeri ini adalah beragama Islam.
Menurut beliau, kerjasama itu boleh merangkumi pelbagai sektor antaranya keusahawanan dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pendidikan, pelancongan, transformasi digital serta lain-lain lagi.
“Jadi saya mencadangkan pelbagai cara dan kaedah untuk menjalankan kerjasama supaya kita dapat dapat menyuntik tenaga baharu ke dalam agenda pembangunan negeri sekali gus menjadikan Melaka sebagai hab halal dan kewangan Islam yang unggul di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bank Muamalat Malaysia Berhad Cawangan Melaka di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad Khairul Kamarudin serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf ketika berucap pada majlis berkenaan turut menzahirkan harapan agar Bank Muamalat dapat menawarkan lebih banyak peluang pembiayaan untuk pemilikan rumah, pembiayaan perniagaan serta program literasi kewangan terutamanya untuk golongan B40 dan usahawan muda.
Jelas beliau, dalam era digital masa kini, peranan institusi kewangan amat penting dalam memastikan rakyat khususnya di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam transformasi digital ini, justeru pendidikan kewangan digital perlu diperluaskan agar tiada rakyat yang tercicir.
“Kerajaan Negeri Melaka juga mengalu-alukan komitmen Bank Muamalat terhadap program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri seperti Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Pembangunan Usahawan dan Asnaf yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan, Bank Muamalat turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM57,200 kepada sembilan buah masjid dan dua Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Melaka bagi memacu kesejahteraan komuniti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.