12 PENGIKTIRAFAN BUKTI KECEMERLANGAN MPJ

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

JASIN 21 November – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus memperkukuh prestasi sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) berprestasi tinggi apabila berjaya meraih 12 pengiktirafan dan anugerah sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen seluruh warga kerja dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan kesejahteraan masyarakat terus menjadi keutamaan.

Antara pengiktirafan utama diterima ialah kedudukan 10 terbaik tahap cemerlang bagi Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) Tahun 2025 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), selain pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah ABMS 37001:2025 oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd.

“MPJ turut memperoleh Anugerah Perak menerusi inovasi Lesir Kencana (Accumix Scale) sempena Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026, selain dinobatkan johan menerusi inovasi Inexus Integrated Operation Centre dan AI Powered Auto Reminder MPJ pada Konvensyen Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) Negeri Melaka 2026.

“Inovasi tersebut turut mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan di Shah Alam pada 28 dan 29 Oktober lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MPJ bagi November yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, di sini, baru-baru ini.

Dalam aspek pembangunan kemudahan awam dan kelestarian, Muhammad Zahiruddin berkata, MPJ turut memperoleh penarafan lima bintang bagi Taman Bandar Botani Parkland menerusi Anugerah Rosa-Sinesis Penarafan Taman Awam 2026, selain meraih penarafan empat bintang dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) 2026.

Katanya, MPJ turut memperoleh tempat kedua bagi Medan Selera Orang Jasin menerusi Kempen Premis Makanan Bersih PBT Cemerlang, selain menerima Anugerah Perintis Tenaga Boleh Baharu dan Kelestarian Agro serta johan kategori jabatan, agensi kerajaan dan badan beruniform bagi perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri.

Selain itu, MPJ menerima Sijil Penghargaan Cemerlang bagi pelaksanaan Program Local Agenda 21 (LA21) dan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) 2026, selain Anugerah Emas menerusi inisiatif meningkatkan kecekapan sebanyak 90 peratus dalam pemantauan dan penyampaian perkhidmatan bandar.

Menurutnya, pelbagai pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian organisasi, sebaliknya mencerminkan usaha menterjemahkan aspirasi Kerajaan Negeri Melaka menerusi pelaksanaan program dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Mengulas hala tuju MPJ, beliau berkata, tahun 2027 yang menandakan dua dekad penubuhan pihak berkuasa tempatan itu akan menjadi fasa baharu untuk meningkatkan prestasi, mengukuhkan daya saing serta memperkasakan mutu penyampaian perkhidmatan.

“Hasrat kami bukan sekadar menjadikan MPJ sebuah organisasi yang cemerlang di atas kertas, tetapi sebuah PBT yang pencapaiannya dapat dilihat, perkhidmatannya dapat dirasai dan sumbangannya dihargai masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post AB RAUF BERSYUKUR MAMPU IMBANGI TUGAS PIMPIN NEGERI, BERJAYA DALAM AKADEMIK