JKM MELAKA BUKA TIGA PPS TEMPATKAN 38 MANGSA BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 20 November – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menguruskan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan keseluruhan 95 mangsa banjir.

Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad berkata, daripada jumlah itu, dua PPS masih beroperasi manakala sebuah lagi PPS
di Dewan Japerun Pantai Kundor, telah ditutup pada 19 November.

Beliau berkata, PPS yang masih aktif ialah Balai Raya Gadek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Linggi di DUN Kuala Linggi.

“Secara keseluruhan JKM telah menguruskan tiga PPS yang membabitkan 29 keluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 95 orang.

“Daripada jumlah itu seramai 57 mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah semalam dan mereka yang masih ditempatkn di PPS adalah seramai 38 orang membabitkan 18 orang di PPS Balai Raya Gadek manakala 20 lagi mangsa di PPS SK Kuala Linggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Halyjah, kesemua mangsa yang berdaftar dan ditempatkan di PPS telah disantuni dengan penyediaan keperluan makanan, minuman serta barangan asas sepanjang berada di pusat pemindahan berkenaan.

“Malah di pihak JKM, kami turut memastikan semua pegawai dan kakitangannya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula Oktober hingga Mac tahun depan.

“Untuk itu, persediaan dilakukan turut melibatkan penambahan stok di semua stor keperluan bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Ia bagi memastikan keperluan mangsa yang ditempatkan di PPS dapat dipenuhi sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post ‘SEMAKIN TINGGI ILMU, SEMAKIN TUNDUK’