
KAMPUNG DIGITAL: PENYELIDIKAN AB RAUF MANFAATKAN 618 KAMPUNG, 88,000 PREMIS
BANGI 20 November – Masalah alamat kediaman yang sukar diakses di kawasan kampung mendorong Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh mengilhamkan inisiatif Kampung Digital.
Inisiatif itu bertujuan memberi alamat baharu yang lengkap dengan kod respon pantas (QR) untuk memudahkan pengesanan sesuatu alamat itu dilakukan dan tidak lagi bergantung kepada alamat perbatuan yang diguna pakai sejak zaman penjajah.
Bertitik tolak daripada ilham itu, Ab Rauf turut menjadikan Kampung Digital sebagai kajian penyelidikan dalam pengajian Doktor Falsafah (PhD) beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau berkata, isu yang kelihatan kecil itu sebenarnya boleh membawa implikasi besar, terutama ketika berlaku kecemasan apabila pasukan penyelamat perlu mencari lokasi kediaman dengan segera.
“Bayangkan, dalam dunia serba canggih hari ini, masih ada rumah yang alamatnya bergantung pada petunjuk seperti, ‘lepas pokok kelapa, belok kiri selepas warung Mak Senah, rumah sebelah rumah Pak Dolah’.
“Tetapi bagaimana pula jika yang sedang mencari rumah itu bukan posmen, tetapi sebuah ambulans yang sedang berlumba dengan masa untuk menyelamatkan nyawa?
“Maka, daripada persoalan kecil inilah, lahirnya satu usaha yang membawa makna besar iaitu Kampung Digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Penyelia dan Pemakaian Jubah Graduan Kedoktoran Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) di Dewan Persidangan CRIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Ab Rauf berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Kampung Digital kini telah memberi manfaat besar kepada 618 kampung tradisional di Melaka, membabitkan lebih 88,000 premis.
Katanya, premis berkenaan dilengkapi sistem alamat digital menerusi kod QR bagi memudahkan pengenalpastian lokasi kediaman.
Malah, ujar beliau, usaha itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi Digital Community Innovation Excellence Award di Hainan, China, pada Oktober lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

