‘SEMAKIN TINGGI ILMU, SEMAKIN TUNDUK’

Masa Membaca:55 Saat

BANGI 20 November – Semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin besar tanggungjawab seseorang untuk merendah diri dan memberi manfaat kepada orang lain.

Itu pesanan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh kepada graduan kedoktoran dan anak muda supaya menjadikan ilmu sebagai asas untuk berbakti, bukannya sekadar mengejar gelaran atau pengiktirafan.

Beliau berkata, ketinggian ilmu seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan panjangnya gelaran akademik, sebaliknya melalui sumbangan dan manfaat yang diberikan kepada kehidupan insan.

“Jadilah seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Kerana ketinggian ilmu bukan diukur pada panjangnya gelaran, tetapi pada besarnya manfaat yang kita berikan kepada kehidupan insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Penyelia dan Pemakaian Jubah Graduan Kedoktoran Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) di Dewan Persidangan CRIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, pemakaian jubah graduasi bukanlah simbol berakhirnya perjalanan ilmu, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat.

Katanya, setiap graduan perlu memastikan pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah, memudahkan kehidupan serta membawa perubahan positif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

116
Kongsi :
Previous post ‘YB TURUN KAMPUNG’ JADI MISI 100 HARI SITI AISYAH DI PENGKALAN BATU