‘YB TURUN KAMPUNG’ JADI MISI 100 HARI SITI AISYAH DI PENGKALAN BATU

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PENGKALAN BATU 20 November – Program ‘YB Turun Kampung’ antara medium utama akan digerakkan dalam misi 100 hari pertama bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Siti Aisyah Mahmood untuk mendekati rakyat serta mengenal pasti isu setempat memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Menurut Siti Aisyah, YB itu bukan Yang Berhormat tetapi Yang Berkhidmat atau Yang Bekerja dan pendekatan program YB Turun Kampung memberi tumpuan kepada usaha mengumpul aduan, permasalahan penduduk di setiap kampung serta taman perumahan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, sebelum penyelesaian dirangka secara berperingkat.

Katanya, langkah awal yang akan dilaksanakan adalah menyusun struktur organisasi serta melantik jawatankuasa bagi memastikan gerak kerja program berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Selepas pembentukan jawatankuasa selesai, saya bersama pasukan akan turun ke kampung-kampung untuk bertemu penduduk dan mendapatkan maklum balas secara langsung.

“Saya mahu turun ke kampung-kampung dan namakan program ini sebagai ‘YB Turun Kampung’. Kita nak kumpulkan segala isu rakyat untuk diselesaikan satu persatu.

“Tetapi peringkat awal ini kita mulakan dengan menyusun struktur dan melantik jawatankuasa terlebih dahulu sebelum turun bersama-sama mereka dan mencari solusi bagi setiap isu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Lorong Peringgit Ria bagi melihat aduan daripada lapan penduduk yang mendakwa rumah mereka retak akibat pembinaan projek baharu di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Siti Aisyah berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan setiap tindakan yang dirancang benar-benar berdasarkan keperluan penduduk dan bukannya dibuat tanpa memahami permasalahan sebenar di kawasan berkenaan.

“Usaha mengenal pasti isu lokaliti juga selari dengan komitmen saya sepanjang tempoh kempen sebelum ini yang memberi penekanan kepada keperluan mendengar sendiri suara serta kehendak rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL: PENYELIDIKAN AB RAUF MANFAATKAN 618 KAMPUNG, 88,000 PREMIS