AB RAUF BERSYUKUR MAMPU IMBANGI TUGAS PIMPIN NEGERI, BERJAYA DALAM AKADEMIK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANGI 21 November – Mengimbangi tanggungjawab sebagai Ketua Menteri dan pada masa sama menyambung pengajian dalam Ijazah Kedoktoran bukan sesuatu yang mudah.

Namun cabaran itu tidak menghalang Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh membuktikan kemampuan diri dan berjaya menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata, perjalanan akademik itu memerlukan komitmen tinggi, termasuk mengatur jadual kelas, melaksanakan penyelidikan dan menyiapkan tesis di sebalik tanggungjawab mentadbir negeri.

Katanya, proses tersebut turut memerlukan bimbingan serta pandangan penyelia dari semasa ke semasa bagi memastikan penyelidikan yang dijalankan dapat diperhalusi sehingga ke peringkat akhir.

“Alhamdulillah, tiada kata-kata yang lebih indah dapat saya katakan selain ucapan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan dorongan kepada saya selama ini.

“Apapun, apa yang diraih ini tidak hanya berakhir setakat ini, sebaliknya lebih banyak lagi akan kita kecapi selepas ini dalam mengurus Kampung Digital yang menjadi tajuk DBA saya, di mana ia akan menjadi rujukan seluruh Malaysia suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Sempena Penganugerahan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) APEL Q UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf turut berkongsi pengalaman berdepan jadual pengajian padat sehingga menuntut pengorbanan masa dan tenaga.

Meskipun begitu, beliau percaya tiada kejayaan akan dikecapi tanpa pengorbanan, selain sokongan penyelia, pensyarah dan semua pihak yang membimbingnya sepanjang proses akademik berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

84
Kongsi :
Previous post ‘DI SEBALIK DBA INI, ADA PENGORBANAN ISTERI DAN KELUARGA’ – AB RAUF