
EMPAT KAMPUNG DI KUALA LINGGI TERJEJAS BANJIR
AYER KEROH 20 November – Taburan hujan lebat luar biasa dan fenomena air pasang besar dipercayai menjadi punca banjir yang menjejaskan empat kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah berkata, keadaan itu menyebabkan saliran dan longkang sedia ada tidak dapat menampung kapasiti air yang terlalu tinggi.
Rosli yang juga Timbalan Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana negeri berkata, antara kawasan yang dikenal pasti terjejas adalah Kampung Telok Gong, Kampung Tengah, Kampung Tanjung Dahan dan Kampung Kuala Linggi.
“Pihak Japerun sudah mengumpul maklumat semua mangsa, sebanyak empat kampung yang terjejas dengan Kampung Kuala Linggi antara lokasi paling teruk terkesan.
“Malam tadi (semalam) saya sempat meluangkan masa singgah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Linggi dan berjumpa dengan tujuh keluarga yang ditempatkan di situ,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga selain memastikan tindakan susulan dapat diselaraskan mengikut keadaan di lapangan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

