
TIGA ACARA WARNAI PELANCONGAN MELAKA DISEMBER INI
BANDA HILIR 21 November – Melaka bakal merancakkan sektor pelancongan sepanjang Disember ini menerusi penganjuran tiga acara utama bersempena cuti sekolah dan sambutan penghujung tahun.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad berkata, antara program yang disusun ialah Melaka Bila Larut Malam yang akan diteruskan pada setiap Sabtu minggu pertama seperti kebiasaan.
Menurutnya, pelbagai pengisian menarik turut dirancang bagi memeriahkan program berkenaan, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang berkunjung ke Melaka sepanjang cuti sekolah.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan sambutan Hari Natal yang setiap tahun diraikan bersama masyarakat beragama Kristian, selain sambutan ambang Tahun Baharu 2027.
“Kebiasaannya sambutan Hari Natal diadakan di Kampung Portugis, namun lokasi bagi tahun ini masih belum dimuktamadkan dan kita menunggu ketetapan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kolaborasi Ulang Tahun Ke-55 Mamee X Hard Rock Cafe Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di kafe berkenaan, di sini, pada Khamis.
Nasrul berkata, pihaknya juga bersedia melaksanakan sambutan ambang Tahun Baharu 2027 dengan pelbagai pengisian yang dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, lokasi sambutan ambang tahun baharu inj masih menunggu keputusan Kerajaan Negeri yang akan diumumkan Ketua Menteri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

