BERKAIN PELIKAT PUN TURUN PADANG, ABDUL HAKIM TAK BERTANGGUH SELESAI ADUAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 21 November – Penampilan bersahaja hanya berkain pelikat dan berbaju T tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid turun padang bagi memastikan setiap aduan rakyat diberi perhatian dan tindakan segera.

Pada Selasa lalu, beliau turun padang meninjau kerja-kerja mencantas pelepah pokok kelapa yang menyenget di laluan utama berhadapan Kompleks Belia dan Sukan Lendu kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Kerja-kerja berkenaan dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) susulan aduan yang diterima pihaknya.

Abdul Hakim berkata, maklumat mengenai keadaan pokok berkenaan disalurkan menerusi talian WhatsApp khas Pusat Aduan DUN Lendu di 019-678 6085 yang baru dilancarkan bagi memudahkan penduduk menyampaikan aduan dan permasalahan setempat.

“Susulan maklumat diterima, saya ke lokasi kejadian untuk memantau sendiri kerja-kerja mencantas pelepah pokok kelapa berkenaan. Tindakan segera diambil bagi memastikan pengguna jalan raya tidak terdedah kepada risiko kemalangan.

“Jika terus dibiarkan, pokok kelapa berkenaan dikhuatiri akan menimpa kabel talian telekom, jadi lebih baik kita ambil langkah segera,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, sejak dilancarkan, talian WhatsApp khas Pusat Aduan DUN Lendu itu sudah menerima hampir 100 aduan merangkumi pelbagai isu dan permasalahan penduduk.

Katanya, antara aduan yang kerap diterima termasuk berkaitan masalah saliran, longkang dan perparitan selain pertanyaan mengenai bantuan kebajikan.

“Aduan ini kita teliti dan disalurkan kepada agensi atau jabatan berkaitan, bukan sekadar direkodkan tanpa sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan talian khas itu diharap dapat menjadi saluran komunikasi lebih mudah dan pantas antara penduduk dengan pihaknya, sekali gus memastikan setiap permasalahan setempat dapat dikenal pasti serta ditangani dengan lebih berkesan.

Jelasnya, komitmen untuk turun padang dan mendekati masyarakat akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan warga DUN Lendu sentiasa terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

67
Kongsi :
Previous post 12 PENGIKTIRAFAN BUKTI KECEMERLANGAN MPJ
Next post KEPIMPINAN BERJIWA RAKYAT, PENIAGA SAMBUT BAIK AB RAUF KEKAL KETUA MENTERI