
MELAKA LULUS RM5 JUTA PROJEK SEGERA ATASI BANJIR
SERI NEGERI 15 Julai – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan sistem saliran tersumbat di kawasan benar-benar terjejas dalam kadar segera.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh susulan kejadian banjir luar biasa yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini.
Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan akan diselaraskan pihaknya bersama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta agensi berkaitan berdasarkan keutamaan kawasan yang teruk terjejas akibat banjir.
“Peruntukan tambahan ini dikhususkan kepada projek segera membabitkan hotspot banjir dan kawasan-kawasan yang teruk terjejas di negeri ini.
“Tidak semua kawasan akan menerima peruntukan kerana keutamaan diberikan kepada lokasi yang benar-benar mengalami masalah banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rais turut mengingatkan agar semua mangsa banjir supaya mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) segera bagi memudahkan proses penyaluran bantuan bencana.
Katanya, terdapat segelintir mangsa enggan berpindah ke PPS kerana mahu menjaga rumah dan harta benda sekali gus menyebabkan nama mereka tidak direkodkan dalam sistem untuk menerima bantuan.
“Kerajaan Negeri akan memastikan semua mangsa yang berdaftar di PPS menerima bantuan bencana yang sewajarnya dan tiada yang tercicir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


