
MELAKA MARTABAT MAKANAN, BUSANA TRADISIONAL
DUYONG 26 Oktober – Melaka menggunakan pendekatan kreatif memartabat makanan tradisional menerusi Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025.
Ia selepas festival berkenaan berjaya menghasilkan sebanyak 50,000 kuih onde-onde atau buah melaka, sekali gus tercatat dalam Malaysia Book Of Records.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam melestarikan makanan tradisi yang semakin dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Jelas beliau, menerusi usaha tersebut, kuih-kuih warisan dapat diketengahkan kepada orang ramai, seterusnya dapat memastikan legasinya terus dipertahankan serta disambung.
“Ini (penghasilan onde-onde terbanyak) merupakan antara kaedah untuk kita mempromosikan kuih-kuih lama seperti onde-onde kerana ia memerlukan satu inisiatif baharu bagi memastikan warisannya dapat disambung generasi akan datang.
“Alhamdulillah, menerusi festival ini kita berjaya menghasilkan 50,000 onde-onde hasil kerjasama peserta dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan akhirnya rekod ini berjaya dicipta dan secara tidak langsung membantu keterlihatan makanan tradisi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malam Lestari Seni Budaya – Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka Mohd Radzi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta lain-lain kenamaan.
Tambah Ketua Menteri, tidak hanya membabitkan penghasilan onde-onde, malah peserta terlibat juga telah mengenakan busana lama bagi menambahkan lagi kemeriahan program tersebut.
Ujar beliau, pemakaian busana tradisional itu juga secara tidak langsung dapat mempromosikan warisan budaya nenek moyang agar ia tidak luput ditelan zaman.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


