Melaka meterai perjanjian projek tambak laut RM1.5 bilion

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SERI NEGERI 25 Feb. – Kerajaan negeri memeterai perjanjian bersama tiga syarikat bagi projek tambak laut, aktiviti maritim serta penyewaan asrama pekerja asing, hari ini.

Perjanjian itu dimeterai melalui usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) melibatkan anak syarikatnya iaitu PM Multilink Sdn Bhd serta dua syarikat swasta AWH Marine Sdn Bhd dalam syarikat usahasama My Marine Park Sdn Bhd dan HLRB Processing Sdn Bhd.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, perjanjian usahasama kerajaan negeri dan PKNM adalah bagi projek tambak laut seluas 182.1 hektar membabitkan kos keseluruhan RM1.5 bilion

“Ia melibatkan Mukim Umbai di Daerah Jasin bagi melaksanakan pembangunan projek minyak dan gas di atas tanah tambakan itu.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, PKNM hendaklah memulakan pelaksanaan kajian hidraulik dan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) dalam tempoh dua tahun bermula 21 Februari 2020 sehingga 20 Februari 2022 dan kerja tambak laut pula dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh perjanjian ditandatangi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian-Perjanjian PKNM di Bilik Tun Perak, hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan aktiviti berkaitan maritim di kawasan tiga batu nautika di sepanjang perairan Negeri Melaka pula bagi menjana ekonomi negeri.

“Ini melibatkan dua syarikat iaitu PM Multilink Sdn Bhd dan AWH Marine Sdn Bhd di dalam Syarikat Usahasama My Marine Park Sdn Bhd.

“Kerajaan negeri memberi fokus pembangunan industri maritim sebagai salah satu bentuk pelaburan yang mampu menjana ekonomi negeri dengan lebih aktif.
“Syarikat AWH Marine Sdn Bhd adalah sebuah syarikat mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pelaksanaan dan pengurusan aktiviti maritim,” katanya.

ROSLAN dan Yew Siong (dua kanan) bertukar dokumen bagi perjanjian penyewaan asrama PKNM sambil diperhatikan Sulaiman.

Sementara itu katanya, perjanjian penyewaan asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Merlimau antara PKNM dan Syarikat HLRB Processing Sdn Bhd diyakini dapat memastikan penularan virus COVID dalam kalangan pekerja asing dapat dibendung.

“PKNM mempunyai bangunan asrama pekerja di kawasan perindustrian ini yang mengandungi dua blok asrama lima tingkat yang mampu menempatkan 900 pekerja industri,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi PKNM, Datuk Roslan Ahmad; Pengarah AWH Marine Sdn Bhd, Datuk Kapten Jailani Jalal; Pengarah HLRB Processing Sdn Bhd, Datuk Wira Lim Yew Siong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1408
Kongsi :
Previous post PTPN dirangka untuk lengkapkan Dasar Perpaduan Negara
Next post Sulaiman suntik vaksin COVID-19 pada 2 Mac
Ubah saiz-+=