Melaka naib johan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021
AYER KEROH 8 Sept – Peserta Melaka Mohd Amirudddin Md Nor dinobatkan naib johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021, baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan beliau yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta plak dan sijil.
Katanya, pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu mampu melahirkan generasi muda yang berketrampilan dan cakna dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.
“Diharap aspirasi negara dapat dihayati dan ditekuni oleh pewaris negara apatah lagi tema yang ditetapkan adalah ‘Malaysia Bangkit Bersama” dan tajuk yang dipilih ‘Rukun Negara Teras Identiti Nasional’,” katanya.
Selain Melaka yang berjaya ke peringkat akhir, turut memberi saingan sengit adalah peserta dari Pahang, Sabah, Perlis, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pertandingan akhir itu dilaksanakan secara maya melalui platform Facebook Live JaPen dan Merdeka 360 sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.
Sementara itu, Pengarah JaPen Melaka Mohd Rizal Hashim berkata, pertandingan itu selesai dilaksanakan pada hujung Mei lalu.
“Kita berjaya melepasi peringkat separuh akhir dan berentap dengan 14 negeri lain pada Julai sebelum meraih tempat kedua di saingan akhir.
“Kali ini konsep penyampaian secara ‘TED Talk’ (teknologi, hiburan dan reka bentuk) diketengahkan pada format pertandingan akhir pidato.
“Ini pendekatan baharu untuk memujuk dan menyampaikan mesej kepada kumpulan khalayak sasaran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.