Sorting by

×

MELAKA NEGERI PELANCONGAN HARGA BERPATUTAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 26 September – Melaka terus memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan pilihan dengan menawarkan pelbagai produk pelancongan pada harga berpatutan, sesuai dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keunikan Melaka bukan sahaja terletak pada kepelbagaian produk pelancongan, malah pada nilai yang mampu memenuhi keperluan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Kita mempunyai pelbagai produk pelancongan yang boleh diketengahkan dan memberikan keriangan kepada pelancong yang berkunjung.

“Sudah pasti ia memberikan pengalaman menarik pada harga yang berpatutan, bermula daripada pelancong ‘premium’ hinggalah pelancong di peringkat B40,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Visit Malaysia Travel Meet (VMTM) 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, antara program pelancongan menarik yang diperkenalkan di Melaka ialah program Melaka Bila Larut Malam yang diadakan setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.

“Program ini memberi peluang kepada rakyat B40 menikmati produk pelancongan pada kadar RM10 sahaja, selain tawaran hidangan makanan daripada gerai yang turut menyertai program tersebut pada harga yang sama.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga pusat beli-belah yang memberi sokongan dengan membuka operasi merdeka sehingga jam 2 pagi pada hari program berlangsung.

“Inisiatif ini hanya terdapat di Melaka dan menjadi tarikan unik yang akan memacu pertumbuhan pelancongan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post MELAKA TERIMA 11 JUTA PELANCONG SETAKAT OGOS, CATAT HASIL RM12.05 BILION
Next post KUM, NKS DEVELOPMENT METERAI MOU PERKASA PEMBANGUNAN UTILITI TERANCANG