Melaka negeri pertama tubuh Majlis TVET, martabat pendidikan kemahiran

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Melaka yang dilancarkan hari ini menjadi medan memperkasa bidang kemahiran ke peringkat yang lebih tinggi.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, penubuhan itu merupakan yang pertama membabitkan negeri di Malaysia.

Beliau berkata, sebelum ini, hanya terdapat Sekretariat TVET yang ditubuhkan di negeri ini membabitkan lapan institusi termasuk Politeknik sebelum ia diperluaskan secara menyeluruh di kesemua 22 institusi TVET Melaka.

“Kali ini 22 buah institusi yang ada di Melaka tidak terkecuali terlibat dalam Majlis yang ditubuhkan kali pertama di negara ini agar bidang TVET ini terus diberi tumpuan.

“Walaupun negara kita mempunyai Majlis TVET Negara namun ini tidak akan mengganggu pemprosesannya, bahkan ia akan memudahkan perjalanan kolaborasi antara kedua majlis ini agar segala inisiatif dan manfaat akan diterima secara terus kepada pelajar TVET.

“KIta harap galakkan pelajar-pelajar untuk menceburi TVET di Melaka akan terus menjadi pilihan pertama dan bukan pilihan kedua ataupun terakhir pelajar, malah negeri ini layak memartabatkan bidang ini kerana Melaka dilimpahi pelbagai perindustrian mega yang mampu memberi peluang emas kepada lepasan pelajar TVET untuk meneruskan karier pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perasmian Karnival TVET Negeri Melaka 2022 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, langkah pertama Majlis yang ditubuhkan itu akan memperluaskan hasratnya dengan melakukan jelajah besar-besaran di sekolah-sekolah di Melaka agar pelajar di negeri ini terus diberikan pendedahan dalam bidang itu.

“Kita akan letakkan perkara ini dalam takwim Majlis TVET selain kita juga akan mengadakan rundingan bersama kaunselor-kaunselor di setiap sekolah untuk memberi pencerahan kepada pelajar sekolahnya.

“Kaunselor juga perlu mainkan peranan kerana mereka orang yang paling dekat dengan pelajar sekolah untuk memberi pendedahan secara terus kepada mereka dalam bidang ini, malah Melaka juga dilengkapi dengan pelbagai instusi TVET yang menawarkan pelbagai program dari peringkat rendah sehingga ke Universiti yang membawa pulangan menarik dalam kerjaya mereka,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3742
Kongsi :
Previous post ‘Pain Clinic’ diperluas di klinik kesihatan Melaka
Next post Kakitangan SAMB dapat bonus sebulan setengah gaji – KM
Ubah saiz-+=