Sorting by

×

MELAKA PERKUKUH REPUTASI SEBAGAI GERBANG UTAMA PELANCONGAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 26 September – Berbaki kurang 24 jam sahaja lagi, Melaka bakal menjadi tumpuan dunia apabila menjadi lokasi sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Tidak hanya itu, Melaka turut diberi kepercayaan menjadi lokasi tuan rumah untuk meluncurkan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua acara bertaraf antarabangsa di bumi bertuah ini, sekali gus memperkukuhkan reputasi Melaka sebagai pintu gerbang utama pelancongan negara.

“Acara bertaraf antarabangsa ini bukan sekadar meraikan sektor pelancongan, malah menjadi medan penting untuk mengukuhkan jaringan sinergi global serta meneroka peluang baharu yang akan memberi limpahan manfaat kepada seluruh komuniti dunia.

“Untuk itu, saya mengalu-alukan kerjasama erat daripada semua pihak, sama ada agensi kerajaan, pemain industri mahupun komuniti setempat, memastikan acara ini berjaya agar Melaka terus melakar kecemerlangan sebagai destinasi pelancongan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Joyride Negeri Melaka sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Pengarah Operasi Penerbangan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Captain Mohd Nazri Borhannuddin; Ketua Pegawai Operasi IATAC Captain Kenneth Yap serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, sebagai negeri pelancongan terunggul, Melaka tidak akan pernah berhenti melangkah ke hadapan.

Sebaliknya, beliau percaya, bumi bersejarah ini akan terus menyinar sebagai permata berharga negara, yang menyerlah dengan keunikan sejarah, budaya dan inovasi, sekali gus menjadi kebanggaan rakyat serta tumpuan dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post ‘JOYRIDE’ PACU PELANCONGAN MELAKA TERBANG TINGGI
Next post MELAKA TERIMA 11 JUTA PELANCONG SETAKAT OGOS, CATAT HASIL RM12.05 BILION