Sorting by

×

MELAKA PERSEMBAH KONDA KONDI KEPADA DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Jun – Permainan Konda Kondi akan dipersembahkan kepada dunia pada Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkenalkan keunikan sukan tradisional negara kepada delegasi antarabangsa.

Pada masa sama, ujar beliau, langkah itu juga diambil bagi memastikan sukan rakyat itu terus diwarisi generasi muda negara pada masa akan datang.

“Permainan seperti ini bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya tempatan, malah menjadi medium penyatuan masyarakat merentas generasi.

“Semoga usaha ini membuka lebih banyak ruang untuk Melaka dikenali dunia sebagai destinasi pelancongan yang berakar pada tradisi dan nilai komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Bersama Komuniti Negeri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Pada program tersebut, turut diadakan demonstrasi dan pertandingan konda kondi sebagai tarikan kepada pengunjung yang hadir.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan Kerajaan Negeri bersama Politeknik Merlimau Melaka membangunkan permainan konda kondi yang diberi nafas baharu sebagai usaha melestarikan sukan tradisional itu.

Malah, bersempena WTD dan WTC 2025, konda kondi akan menjadi cenderahati istimewa kepada delegasi menteri-menteri pelancongan dunia yang hadir sebagai simbol warisan budaya Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR 30,000 BEG DARAH TAHUN INI
Next post PEJABAT JUALAN MTD PROPERTIES TAMPIL REKA BENTUK MODEN, MESRA PELANGGAN