Sorting by

×

MELAKA PINTU GERBANG PELANCONGAN NEGARA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KLEBANG 27 September – Melaka bersedia menjadi pintu gerbang pelancongan Malaysia menjelang tahun 2026, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Ketua Menteri, Melaka sentiasa memainkan peranan penting dalam kejayaan pelancongan Malaysia, bukan sahaja sebagai destinasi warisan yang kaya budaya, tetapi juga sebuah destinasi selamat yang menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Jelas beliau, atas faktor itu, bumi bersejarah ini sering dipilih menjadi tuan rumah acara-acara besar bukan sahaja di peringkat kebangsaan bahkan dunia termasuklah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).

“Lebih bermakna, acara-acara utama ini pastinya akan menjadi pemangkin untuk membuka peluang luas kepada Melaka mempromosikan produk pelancongan terus ke pentas dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; menteri-menteri pelancongan serta delegasi dari 159 buah negara yang hadir serta lain-lain kenamaan.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ab Rauf, selama lebih enam abad, Melaka berkembang pesat sehingga digelar Venice of the East, sebuah pelabuhan perdagangan yang menjadi tumpuan dunia dan pusat penyebaran agama Islam serta penyatuan pelbagai komuniti dan etnik menerusi lingua franca.

Kini, ujar beliau, Melaka kekal sebagai lambang keindahan kepelbagaian budaya, yang diwarnai beca berhias, keunikan masakan Baba Nyonya hingga pelbagai festival agama yang diraikan secara bersama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post MELAKA HARGAI PELUANG SUARAKAN PANDANGAN INDUSTRI DALAM BELANJAWAN 2026
Next post PM TABIK KEHEBATAN MELAKA LANCAR TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026