Melaka sasar 20 emas di SUKMA Sarawak 2024

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 12 Julai – Melaka meletakkan sasaran untuk membawa pulang 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak, tahun depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, sasaran itu disifatkan realistik berikutan terdapat penambahan lima acara yang menjadikan keseluruhan 37 sukan dipertandingkan.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka bersama dengan persatuan sukan kini sedang giat mempersiapkan kesemua atlet yang akan dihantar ke temasya sukan dwitahunan itu.

“Melaka kini sedang dalam mempersiapkan persediaan 37 pasukan kerana SUKMA Sarawak antara yang terbesar apabila setiap negeri perlu menghantar 37 pasukan dan ia wajib.

“Lima acara sukan baharu adalah silambam, kabadi, catur, kriket dan softball. Semestinya kita menyasarkan setiap pasukan akan menyumbang emas namun begitu sasaran kita adalah 20 pungutan pingat emas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, pemilihan atlet akan dibuat oleh persatuan sukan sebelum latihan intensif dilakukan oleh MSN Negeri Melaka bersama barisan kejurulatihan.

“Pemilihan atlet kita belum muktamadkan kerana ia akan dibuat oleh persatuan masing-masing sebelum dimasukkan ke dalam ‘long list’.

“Namun begitu altlet sedia ada kita akan utamakan tetapi akan bercampur dengan muka baharu juga.

“Contohnya seperti sukan angkat berat yang mana kita ada pelapis baharu Nurul Syasya Khairina Syamsur yang sebelum ini pernah menyumbang emas pada temasya SUKMA 2022,” katanya.

Shanmugam berkata, persiapan menjelang SUKMA 2024 untuk pasukan Melaka sudah berjalan 60 peratus bagi memastikan sasaran itu dicapai.

Sementara itu, Pengarah MSN Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal berkata, pihaknya memberi fokus kepada sukan yang mempertandingkan banyak pingat sepertu wushu dan silat.

“Kita memang sasar emas banyak tetapi kena realistik kerana tumpuan perlu diberikan kepada acara sukan yang boleh menghadiahkan pingat emas yang banyak.

“Contohnya seperti wushu, badminton, akuatik dan silat kerana sukan-sukan ini banyak pingat ditawarkan berbanding bola sepak yang hanya menawarkan dua pingat emas sahaja,” katanya.

Tambahnya, strategi yang betul juga penting agar sasaran pingat emas dapat dicapai termasuklah dengan memberi pendedahan kepada atlet bertanding kejohanan-kejohanan kebangsaan yang dianjurkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1187
Kongsi :
Previous post Persidangan SOC, 420 pegawai kanan JKR dirai
Next post Kerusi roda khas untuk adik Naysa
Ubah saiz-+=