Melaka sasar 3.5 juta pelancong bagi separuh kedua 2020

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

MELAKA 13 Jun — Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan kedatangan 3.5 juta pelancong ke negeri berkenaan, bagi baki enam bulan terakhir tahun ini selepas sektor pelancongan dibuka semula, selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, sejak awal tahun ini sahaja, negeri berkenaan telah pun berjaya mencatatkan jumlah kedatangan pelancong seramai dua juta orang, walaupun berhadapan dengan wabak Covid-19.

Justeru, beliau yakin sasaran berkenaan mampu dicapai, sekiranya semua pemain industri pelancongan di negeri berkenaan, berganding bahu menggerakkan strategi yang telah dirancang.

Antara yang boleh dilaksana mereka menurutnya, termasuk dengan menawarkan diskaun harga dan pakej pelancongan pada harga yang lebih kompetitif, yang dilihatnya tidak menjadi masalah dengan bantuan dan insentif diumum kerajaan kepada mereka.

“Pemain industri disaran memanfaatkan semua insentif yang kerajaan umumkan, antaranya Skim Pembiayaan Pelancongan bernilai RM1 bilion dan pengecualian cukai pelancongan selama setahun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Taklimat Garis Panduan Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Negeri Melaka, oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan negeri, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, yang dihadiri kira-kira 300 pemain sektor itu.

Muhamad Jailani turut mengingatkan agar segala prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan, dipatuhi pemain industri yang dilihatnya sesuai dengan slogan baharu pelancongan negeri ini iaitu, ‘Melaka Safe Haven’ dan ‘Melaka Is The Place To Be’.

“Apa yang penting ialah memberi keyakinan kepada pelancong untuk berada di Melaka bagi menikmati semua produk, prasarana atau perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan dan aspek menyahcemar perlu dilakukan pengusaha pelancongan secara berkala,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, kira-kira 2,000 pengusaha sektor pelancongan dan peniaga, dijangka berdaftar di bawah aplikasi pelancongan ‘Melaka eXcess’, bagi mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara dalam talian, menjelang hujung tahun ini.

Katanya sehingga kini jumlah mereka yang berdaftar ialah seramai 189 orang, sejak aplikasi itu diperkenalkan pada 1 Jun lepas.

— BERNAMA

Views:

391
Kongsi :
Previous post Selepas hampir tiga bulan, banyak masjid dan surau kini dibuka
Next post Dewan Rakyat calendar amended, third meeting postponed to Nov 2 – Dec 15
Ubah saiz-+=