Sorting by

×

MELAKA SASAR 30,000 BEG DARAH TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PENGKALAN BATU 14 Jun – Bekalan darah di negeri ini berada di paras selamat dan mencukupi bagi menampung keperluan pesakit, kata Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.

Beliau berkata, meskipun begitu Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka terus giat menjalankan pelbagai kempen dalam usaha menarik lebih ramai masyarakat untuk tampil menjadi penderma.

Katanya, bekalan darah yang mencukupi, berkualiti dan selamat bergantung kepada penderma darah sukarela yang menderma secara konsisten.

“Keperluan darah di Melaka mencukupi malah pada tahun lalu Hospital Melaka berjaya mengumpul sebanyak 29,639 beg darah untuk kegunaan seluruh pesakit di Melaka dengan purata beg darah diperlukan setiap hari sebanyak 80 beg.

“Malahan Hospital Melaka juga dapat membantu keperluan bekalan darah untuk negeri lain apabila pada tahun lalu sebanyak 230 beg bekalan darah rentas negeri direkodkan dengan membantu beberapa hospital di semenanjung serta Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Untuk tahun ini, sehingga Mei kita sudah mengumpul lebih 11,800 beg darah dan diharap angka ini akan terus meningkat sekali gus berjaya mencapai sasaran sebanyak 30,000 beg darah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025, yang turut dihadiri Pengarah Hospital Melaka Dr. Shahrum Arshad, di Hospital Melaka, semalam.

Dr. Ruzita berkata, menjelang 2030 Hospital Melaka menyasarkan peningkatan kadar penderma kepada sekurang-kurangnya 3.5 peratus berbanding 3.1 peratus pada waktu ini.

“Justeru itu, untuk mencapai matlamat ini pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai agensi serta seluruh lapisan masyarakat.

“Program pendermaan darah yang kukuh dan mampan dengan penglibatan masyarakat yang menyeluruh serta proaktif amat diperlukan bagi memenuhi keperluan darah berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

512
Kongsi :
Previous post CSR CARA TERBAIK DEKATI RAKYAT
Next post MELAKA PERSEMBAH KONDA KONDI KEPADA DUNIA