Melaka sasar 30,000 unit kediaman pintar menjelang 2023

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDAR MELAKA 27 September – Melaka menyasarkan sebanyak 30,000 unit rumah kediaman akan menyertai Projek Grid Pintar menjelang 2023.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia memandangkan Melaka merupakan antara 28 bandar dari 11 buah negara terpilih melaksanakan program berkenaan.

Tambahnya, Projek Grid Pintar itu merupakan satu-satunya projek demonstrasi grid pintar yang sedang giat dibangunkan di Malaysia dan rantau Asia.

“Setakat ini, hanya 40 unit rumah kediaman berjaya melaksanakan teknologi berkenaan selaku negeri perintis bagi ‘smart meter’.

“Tiada kos diperlukan kerana kita hanya memerlukan sokongan daripada orang awam sebab ini adalah satu sistem komunikasi dua hala di mana dia kena bersetuju dengan pembekal perkhidmatan iaitu TNB sendiri.

“Di ladang-ladang solar di Melaka contohnya kita telah mencapai 20 MegaWatt (MW) menggunakan sistem ini. Jadi mereka akan tahu berapa pengeluaran tenaga elektrik yg dikeluarkan malah berapa penjimatan yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali melancarkan Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Jalan Hang Tuah, di sini.

photo1664260400
Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin mengadakan lawatan ke ruang pameran selepas melancarkan Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Tambah Rais, sehingga kini, Projek Grid Pintar juga telah berjaya mengintegrasikan kira-kira tujuh teknologi di Melaka.

“Antaranya 20 MW ladang solar; 30 KiloWatt (KW) panel solar bumbung; 4,000 liter solar thermal; 50 unit bangunan komersial dan industri; tiga unit pengecasan elektrik, seunit sistem bater serta 40 unit meter pintar dari rumah kediaman

“Sebuah pusat arahan digital turut dibangunkan di Menara Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Ayer Keroh bagi memantau keseluruhan sistem grid pintar itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2165
Kongsi :
Previous post Derita 100 penduduk bakal berakhir
Next post Melaka jadi tumpuan pencinta buku
Ubah saiz-+=