Sorting by

×

Melaka sasar jadi negeri mesra sukan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KLEBANG 5 Jun – Melaka komited untuk menjadi negeri mesra sukan pada masa akan datang menerusi penganjuran pelbagai jenis kejohanan sukan bertaraf antarabangsa.

EXCO Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri V P Shanmugam berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana penganjur untuk menganjurkan apa jua acara sukan di negeri ini.

Menurutnya, ia berikutan acara sukan yang disertai peserta dalam dan luar negara turut berpotensi membangunkan semula sektor pelancongan negeri yang sebelum ini terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Pelancongan sukan merupakan antara agenda kerajaan negeri kerana kita melihat sukan dan pelancongan boleh berjalan seiring dalam misi membangunkan semula negeri ini yang terkenal sebagai destinasi pelancongan.

“Jadi, kita amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkecimpung dengan sukan atau penganjur untuk mengadakan kejohanan di negeri ini yang mana mereka sudah pasti akan diberikan keistimewaan untuk menganjurkannya dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Kita berharap selepas ini lebih banyak sukan berprestasi tinggi akan diadakan di Melaka, antaranya golf, maraton dan lain-lain memandangkan kita mempunyai fasiliti bertaraf dunia, contohnya padang-padang golf, malah Encore di Klebang juga boleh menjadi tempat mesra penganjuran sukan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian dan upacara penyampaian hadiah Triathlon Series Melaka 2022 di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Kejohanan itu disertai seramai 552 peserta dari seluruh negara termasuk peserta luar negara dari Australia, Singapura, United Kingdom, Itali, Jepun, Switzerland, Amerika Syarikat dan lain-lain.

AKSI peserta melengkapkan rutin Triathlon Series Melaka 2022 di Encore Melaka.

Acara triathlon itu bermula pada jam 7 pagi dengan setiap peserta perlu melengkapkan tiga rutin iaitu berenang sejauh 1.5 kilometer (km), berbasikal 40km dan larian di sepanjang Lorong Hajah Maznah, Jalan Klebang sejauh 10km.

Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan membabitkan kategori lelaki dan wanita, selain turut adakan kategori berganti-ganti (relay).

Program tersebut merupakan anjuran Kazoku Events dengan kerjasama Tourism Melaka, Encore Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1322
Kongsi :
Previous post Bau busuk bongkar kes bunuh, kerat mayat ibu
Next post Melaka jadi negeri pertama jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat – Khairy
Ubah saiz-+=