MELAKA SASAR PROSES ‘TAGGING’ LIBATKAN 32,000 TERNAKAN HINGGA HUJUNG TAHUN INI 

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TABOH NANING 1 September – Pemilik ternakan seluruh Melaka diminta supaya menyegerakan proses pendaftaran digital haiwan menerusi pemasangan ‘tagging’ dilengkapi kod respon pantas (QR) pada telinga lembu dan kerbau masing-masing.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya menyasarkan untuk mendaftarkan sehingga 32,000 ekor ternakan seluruh Melaka menjelang hujung tahun ini.

Katanya, sejak dimulakan Jun lalu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka sudah siap melaksanakan pendafaran digital atau tagging melibatkan lebih 6,000 ekor ternakan.

“Sehubungan itu saya berharap lebih ramai penternak atau pemilik secara sukarela memanfaatkan inisiatif ini, proses tangging adalah percuma samapai hujung tahun atau Disember kerana kosnya ditanggung subsidi kerajaan. Masuk sahaja Januari 2027 pemilik perlu tanggung kos berkenaan, jadi manfaatkan peluang yang ada ini dengan sebaik mungkin.

“Hubungi JPV dan mereka akan datang, bukan sahaja melengkapkan proses tangging tetapi ternakan juga akan diberikan vaksin penyakit kuku dan mulut (FMD),” katanya ketika ditemui pada Program Tagging QR Ternakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di Ladang Ternakan Lembu Taboh Naning Kampung Cherana Putih, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zilkiflee Mohd Zin.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Adun Merlimau berkata, selain perlu menangung kos tagging, Kerajaan Negeri juga akan mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemilik dikesan membiarkan ternakan masing-masing berkeliaran terutamanya apabila melibatkan kemalangan selepas Januari 2027.

Menurutnya, usaha itu bertujuan mendidik penternak agar lebih bertanggungjawab terhadap keberadaan ternakan masing-masing dan bukannya bersikap lepas tangan khususnya apabila berlaku perkara tidak diingini terutamanya kemalangan.

“Kita juga akan menggubal akta berhubung perkara ini dan akan dibawa pada sidang DUN akan datang, apabila dilaksanakan kelak proses mengenal pasti pemilik sebenar ternakan menjadi lebih mudah.

“Jika berlaku kemalangan melibatkan ternakan, pemilik perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan, selepas ini juga lembu berada luar premis sepatutnya akan dianggap sebagai berkeliaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post MELAKA MEMANG LAIN MACAM, RAKYAT TERKEJUT KETUA MENTERI SENDIRI HANTAR MAKANAN