Sorting by

×

MELAKA SAYANG RAKYAT DIRASAI DI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI LENDU

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

LENDU 30 Mac – Gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dirasai pada penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang menghimpunkan masyarakat berbilang bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sambutan tersebut bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat malah menjadi manifestasi jelas pendekatan pentadbiran negeri yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ketua Menteri kerana dengan cetusan idea Melaka Sayang Rakyat ini ia dapat digambarkan menerusi sambutan rumah terbuka Aidilfitri di setiap DUN.

“Ia apabila rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dapat berkumpul bersama-sama dibawah satu bumbung meraikan sambutan sambil menikmati juadah disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Lendu yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Saleh.

Menurut Sulaiman, gagasan Melaka Sayang Rakyat bukan sahaja tertumpu kepada sambutan perayaan tetapi kepada pendekatan menyantuni rakyat secara menyeluruh.

“Misalnya apabila setiap aduan yang diajukan oleh rakyat kita dapat mengambil tindakan atau cuba selesai dengan segera mungkin.

“Inilah satu konsep yang mana kerajaan mengutamakan rakyat sekali gus menyantuni mereka. Ini adalah kaedah pentadbiran Kerajaan Melaka sekarang,” katanya.

Terdahulu, sambutan rumah terbuka itu dihadiri kira-kira 10,000 tetamu dan sebanyak 13 jenis hidangan antaranya sate, nasi minyak, rendang dan ayam golek.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

450
Kongsi :
Previous post RUMAH TERBUKA DUN TABOH NANING TERJEMAHAN MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post TRADISI REWANG SEMARAK RAYA ORANG TABOH NANING