Melaka sedia ganjaran istimewa untuk Aaron Chia

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDAR MELAKA 1 September – Kejayaan beregu lelaki negara memenangi Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo Jepun, baru-baru ini disifatkan kejayaan membanggakan bukan sahaja untuk negara, bahkan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan salah seorang pasangan badminton itu, Aaron Chia merupakan anak jati Melaka berasal dari Batu Berendam.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan penghargaan khas kepada Aaron yang telah membanggakan rakyat dan Negeri Melaka.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pasangan beregu badminton negara iaitu Aaron Chia dan Soh Woi Yik di atas kejayaan mereka memenangi Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

“Memandangkan Aaron Chia ini adalah anak kelahiran Negeri Melaka yang berasal dari Batu Berendam, maka saya telah meminta agar penghargaan yang bersesuaian dapat diberikan kepada Aaron Chia kerana secara tidak langsung beliau telah membantu menaikkan nama Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bual Bicara Ketua Menteri yang disiarkan secara langsung di Melaka FM, hari ini.

Pada Kejohanan Dunia, 28 Ogos lalu, Aaron Chia-Soh Woi Yik mencipta sejarah muncul pemain badminton pertama Malaysia memenangi gelaran dunia.

Is selepas pasangan itu menewaskan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra 21-19, 21-14 pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Melaka yang akan mengambil bahagian dalam edisi ke-20 SUKMA.

SUKMA edisi ke-20 itu akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 16 hingga 24 September ini.

Untuk rekod, bagi temasya SUKMA kali ini, Melaka menghantar 388 atlet dan menyasarkan 20 pingat emas daripada 31 jenis sukan yang disertai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1762
Kongsi :
Previous post Elaun Pegawai Syarak Melaka dinaikkan antara RM50-RM200
Next post Polis terima laporan pengulas sukan diugut
Ubah saiz-+=