
MELAKA SELAMATKAN LEBIH 3 TAN MAKANAN DI PASAR RAMADAN
AYER KEROH 6 Mac – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka berjaya menyelamatkan lebih tiga tan lebihan makanan dan minuman menerusi Projek Ramadan Kareem Food Rescue.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata, langkah itu berjaya menerusi komitmen SWCorp bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) setempat di empat pasar Ramadan di negeri ini.
Katanya, program yang berlangsung dari 23 Februari hingga 7 Mac itu dilaksanakan di empat pasar Ramadan terpilih iaitu Pasar Ramadan Peringgit, Masjid Al-Alami MITC, Alor Gajah dan Jasin Bestari.
“Sehingga 3 Mac lalu, sebanyak 3,151 kilogram (kg) makanan yang tidak habis dijual peniaga-peniaga pasar Ramadan dan berjaya dikumpulkan sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), rumah ibadat dan golongan rentan.
“Lebihan makanan di Pasar Ramadan Peringgit pula kita dapati paling tinggi diselamatkan yang mana dalam tempoh dua minggu pelaksanaan inisiatif ‘food rescue’ ini hampir satu tan jumlah lebihan makanan direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Ramadan Kareem Food Rescue dan Free Market 1447H di Pasar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin; Pengarah SWCorp negeri Nor Zaki Md Nor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran makanan, malah meringankan kos sara hidup pelajar dan komuniti yang memerlukan.
“Kita harapkan pada masa akan datang, inisiatif baik ini dapat diperluaskan ke beberapa lokasi pasar Ramadan lain di Melaka ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyelamatkan lebihan makanan malah mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa makanan dan amalkan gaya hidup lestari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


