Melaka sifatkan Bajet 2023 realistik, menyeluruh – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 7 Oktober – Kerajaan Negeri Melaka menyifatkan Bajet 2023 sebagai menyeluruh dan memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat termasuk rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan RM372.3 bilion itu amat realistik dalam usaha Kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Di samping itu, kata beliau, bajet berkenaan juga terus mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan dan Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

“Bajet 2023 yang dibentangkan itu dilihat telah mencakupi semua spektrum golongan rakyat termasuk golongan muda, mahasiswa, belia, wanita, warga emas Orang Asli, Orang Kurang Upaya, peniaga kecil dan penjaja serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, menerusi pembentangan itu, Melaka telah menerima tempias daripada peruntukan untuk sektor pelancongan, kesihatan, pengangkutan dan tebatan banjir.

Kata beliau, sebagai negeri yang berasaskan pelancongan, Kerajaan Negeri Melaka amat menyambut baik penyediaan Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion, yang bertujuan untuk pemulihan hotel, pembaharuan bandar dan pemuliharaan warisan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk memulihkan sektor pelancongan khususnya dalam aspek galakan, promosi dan pemasaran.

“Begitu juga dengan peruntukan yang disediakan untuk sektor kesihatan dan pengangkutan awam, Kerajaan Negeri turut menyokong penambahbaikan fasiliti kesihatan di Hospital Melaka serta penambahan laluan perkhidmatan bas henti-henti di Melaka seperti yang telah diumumkan dalam Bajet 2023.

“Kerajaan Negeri juga amat bersetuju tentang peruntukan yang disediakan untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang diharapkan akan turut memberi manfaat kepada rakyat dan Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4759
Kongsi :
Previous post Bajet 2023: RM2.55 bilion untuk projek luar bandar termasuk jalan desa
Next post Lorong Hong Kong Jasin bakal dimodenkan
Ubah saiz-+=