Sorting by

×

MELAKA TERIMA 11 JUTA PELANCONG SETAKAT OGOS, CATAT HASIL RM12.05 BILION

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 26 September – Melaka merekodkan kedatangan 11 juta pelancong dengan kutipan hasil sebanyak RM12.05 bilion setakat Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu Melaka diyakini mampu mencapai sasaran seramai 16.5 juta pelancong tahun ini.

“Pada Sabtu ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluncurkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) dan acara ini dijangka memberi suntikan baharu kepada industri pelancongan negara, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Dengan peluncuran VM 2026, insya-Allah Melaka akan menjadi destinasi pilihan kerana kita mempunyai pelbagai produk pelancongan yang unik serta mampu memberikan keriangan kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Visit Malaysia Travel Meet 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, Visit Malaysia Travel Meet 2025 menampilkan sebanyak 400 gerai jualan dan pameran produk pelancongan yang berupaya menarik kehadiran orang ramai dan penggiat industri pelancongan.

“Program ini juga diadakan bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

“Melaka mempunyai pelbagai produk pelancongan yang boleh kita ketengahkan dan akan memberikan pengalaman unik kepada pelancong-pelancong yang datang berkunjung ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKUKUH REPUTASI SEBAGAI GERBANG UTAMA PELANCONGAN NEGARA
Next post MELAKA NEGERI PELANCONGAN HARGA BERPATUTAN