Melaka terima bekalan vaksin fasa pertama esok

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 23 Feb – Bekalan vaksin COVID-19 untuk fasa pertama dijangka tiba di Melaka pada esok, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Ujarnya, vaksin tersebut akan dihantar dari Kuala Lumpur ke negeri ini melalui jalan darat sebelum dihantar ke tempat penyimpanan khas di negeri ini.

“Kita sudah bersedia untuk menyambut ketibaan vaksin itu esok yang mana Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan akan mengepalai penerimaan vaksin ini di Hospital Melaka.

“Bekalan vaksin ini akan diterima secara berperingkat dan untuk fasa pertama ini ia akan dihantar terus dari Kuala Lumpur ke Melaka melalui jalan darat pada esok,” ujarnya ketika ditemui mengadakan lawatan ke projek tanaman cili di Bandar Hijau, di sini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata untuk fasa pertama sebanyak 11,000 dos akan diterima Melaka yang mana kesemua dos tersebut akan diberikan kepada petugas barisan hadapan terlebih dahulu.

Tambahnya, suntikan vaksin bagi fasa pertama di negeri ini dijangka akan dijalankan bermula minggu pertama Mac depan.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan 660,000 rakyat Melaka bakal menerima vaksin COVID-19 yang akan dilakukan secara berperingkat dalam tiga fasa.

Fasa 1 akan melibatkan 11,000 petugas barisan hadapan, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), diikuti dengan Fasa 2 kepada pesakit kronik dan warga emas melibatkan 250,000 populasi bermula Mei hingga Ogos depan.

Manakala, Fasa 3 pula melibatkan 400,000 populasi merangkumi rakyat berumur 18 tahun ke atas yang akan dijalankan bermula September depan hingga Februari 2022.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post Bekalan air Melaka mampu bertahan sehingga September
Next post Melaka catat kebolehjangkitan COVID-19 terendah dalam negara
Ubah saiz-+=