Melaka tuan rumah Kejohanan Karate Asia ke-19

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 3 Mei – Melaka bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Karate Asia ke-19 bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 19 hingga 22 Julai depan.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, kejohanan itu akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, majlis penutup kejohanan itu pula akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kejohanan ini akan melibatkan 45 negara dengan penyertaan lebih 1,500 atlet termasuk atlet para yang akan hadir.

“Kejohanan ini memberi peluang kepada atlet untuk bermain di Sukan Asia di China pada Ogos ini sekali gus menentukan kedudukan dunia.

“Di Melaka, kejohanan ini yang kedua terbesar sejak tahun 2006 pernah diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Kejohanan Karate Asia ke-19 di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, wakil penaja utama kejohanan terbabit, Pengarah Urusan Kumpulan The Roof Realty Sdn Bhd, Datuk Dr Nicholas Yap.

Terdahulu, replika cek tersebut disampaikan oleh Nicholas kepada Nur Azmi disaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Penasihat MAKAF.

Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata syarikat swasta tersebut telah memberi tajaan bernilai RM1 juta bagi membantu penganjuran kejohanan tersebut.

“Kita juga masih memerlukan tajaan lain dalam penganjuran kejohanan ini dan sekiranya ada yang mahu menaja, kita alu-alukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2332
Kongsi :
Previous post Abai dan aniaya Bella: Siti Bainun dipenjara berjumlah 22 tahun
Next post Air balang laris musim panas
Ubah saiz-+=