Melaka tuan rumah WYIFAD

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT BARU 25 Mac – Negeri Melaka akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran ‘World Youth International Forum And Awards Dinner’ (WYIFAD) dijadualkan pada Julai depan.

Pengarah Projek World Youth Foundation (WYF), Dr. Azuraida Shahadan berkata, acara julung kali dianjurkan itu bertujuan memberikan pengiktirafan kepada belia yang meraih kejayaan hingga memberikan impak positif dalam pelbagai bidang.

Katanya, berbeza dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain, WYF adalah sebuah pertubuhan berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang memberi perkhidmatan dalam pembangunan golongan belia dalam peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

“Anugerah dibahagikan kepada beberapa kategori seperti usahawan muda berjaya dan bidang akademik kepada calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Daripada 20 kategori dipertandingkan itu, 10 adalah untuk peserta luar negara.

“Menariknya juga pada malam itu, satu anugerah khas turut akan disampaikan Penaung WYF iaitu Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk itu kita amat mengalu-alukan pencalonan daripada individu yang layak untuk disenarai dan dipilih nanti,” katanya.

Dr. Azuraida berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Amal WYF disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam serta turut dihadiri Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali di Istana Melaka, semalam.

Menurut Dr. Azuraida, sempena Ramadan WYF turut mengadakan beberapa program dalam menyantuni dan membantu meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan termasuklah asnaf, anak yatim serta pelajar universiti.

“Sumbangan diterima daripada pelbagai pihak kita anjurkan pelbagai program termasuk kursus dan latihan kepimpinan. Bersempena Ramadan kita anjurkan program bersama anak yatim dan asnaf WYF.

“Selain itu kami juga mewujudkan ‘food bank’ untuk manfaat mahasiswa, kita yakin ada dalam kalangan mereka ini berdepan masalah kewangan atau tiada duit untuk membeli juadah berbuka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post Cuaca panas: Caj elektrik masih berdasarkan jumlah penggunaan, bukan nilai rumah
Next post PDRM hasrat tubuh jabatan baharu fokus jenayah digital dan teknologi
Ubah saiz-+=